Saturday, March 20, 2010

Santapan Minda 4 : Sifat Kita, Sifat Jengking



Semasa berjalan-jalan di pinggir taman, seorang lelaki tua ternampak seekor kala jengking yang tergapai-gapai di dalam lopak. Jengking hitam sebesar ibu jari kaki itu berkali-kali cuba memanjat tebing, tapi setiap kali mencuba, ia jatuh semula ke dalam air.

Lelaki tua itu berasa simpati. Dicapainya jengking hitam itu, tapi belum sempat menyelamatkannya, haiwan itu menyengat jari lelaki tua itu. Sakitnya bukan kepalang. Ironinya, tiap kali disengat, orang tua itu tetap juga mencuba untuk mengangkat jengking hitam itu keluar dari lopak.

“Mengapa pakcik masih lagi nak menyelamatkan kala jengking ini? Dah berkali-kali pakcik disengatnya,tapi pakcik masih lagi nak mencuba. Kenapa?” Tanya seorang pemuda yang sejak tadi memerhatikan lelaki tua tersebut.

tua itu menjawab,”Menyengat memang sifat semulajadi seekor kala jengking. Tapi sifat semulajadi manusia ialah menyayangi. Mengapa mesti kita korbankan sifat semulajadi kita itu kepada sifat semualajadi seekor haiwan?”.

Selepas berkata demikian, lelaki tua itu mencuba lagi mengeluarkan jengking hitam itu sehingga berjaya. Lelaki tua itu tersenyum puas biarpun bisa sengatan telah pun menular ke seluruh tubuhnya…

Bersama-samalah kita menghayati erti sebenar sifat semulajadi kita yang bernama manusia..

Ayat Aktif dan Ayat Pasif

1. Kedua-dua ayat ini berlainan bentuk stuktur perkataannya tetapi mempunyai maksud sama.

2. Ayat Aktif ialah ayat yang menekankan objek.

3. Ayat Pasif menerangkan benda atau orang yang dikenakan perbuatan ke atasnya.

1. Ayat aktif ialah ayat yang kata kerja berawalan men-.
Contohnya:
(a) Emak memasak nasi dan sebagainya
(b) Pasukan pengakap telah mendirikan khemah itu.
(c) Ketua murid menaikkan bendera sekolah.

2. Ayat pasif ialah ayat yang kerjanya……
(a) tidak berawalan men- dan didahului kata ganti diri pertama dan kata ganti diri kedua.
Contohnya:
i. Bola itu saya tendang.
ii. Borang itu perlu anda isi.

(b) berawalan di- dan diikuti kata sendi oleh serta kata ganti diri ketiga.
Contohnya: Baju itu dibasuh oleh kakak.


3. Ayat pasif terdiri daripada:
(a) ayat pasif diri pertama, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan men-
dan didahului kata ganti diri pertama seperti aku, kami, kita, saya, dan sebagainya.

(b) ayat pasif diri kedua, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan men-
dan didahului kata ganti diri kedua seperti awak, anda, kamu, engkau, dan sebagainya.

(c) ayat pasif diri ketiga, iaitu ayat yang kata kerjanya berawalan di-, diikuti kata sendi oleh serta
kata ganti diri ketiga seperti ia, dia, beliau, baginda, dan sebagainya.

4. Kedua-dua ayat aktif dan pasif membawa maksud yang sama walaupun bentuknya berbeza.

Contohnya:

Ayat Aktif
(a) Saya mencuci kasut sekolah.
(b) Kita menerima keputusan itu.
(c) Aku akan memetik bunga itu.
(d) Kami sudah menyusun jadual itu.

Ayat Pasif Diri Pertama
(a) Kasut sekolah saya cuci.
(b) Keputusan itu kita terima.
(c) Bunga itu akan aku petik.
(d) Jadual itu sudah kami susun.

Ayat Aktif
(a) Anda harus menyiapkan kerja itu.
(b) Awak mesti menyerahkan surat itu.
(c) Engkau patut memulangkan duitnya.
(d) Kamu perlu membaiki kereta itu.

Ayat Pasif Diri Kedua
(a) Kerja itu harus anda siapkan.
(b) Surat itu mesti awak serahkan.
(c) Duitnya patut engkau pulangkan.
(d) Kereta itu perlu kamu baiki.

Ayat Aktif
(a) Mereka mengecat bangunan.
(b) Baginda meminta rakyat supaya bersabar.
(c) Beliau mengarahkan orang ramai supaya beratur.
(d) Dia sedang menjahit baju.

Ayat Pasif Diri Ketiga
(a) Bangunan dicat oleh mereka.
(b) Rakyat diminta oleh baginda supaya bersabar.
(c) Orang ramai diarahkan oleh beliau
supaya beratur.
(d) Baju sedang dijahit olehnya.

Ayat Aktif
1. Ali membaca buku itu.
2. Ibu memasak nasi lemak.
3. Kita mesti mendengar nasihat guru kita.
4. Salmah memukul adiknya dengan kuat.
5. Yusof membawa kerusi patah.

Ayat Pasif
Buku itu dibaca oleh Ali.
Nasi lemak dimasak oleh ibu.
Nasihat guru kita, mesti kita dengar.
Adiknya dipukul dengan kuat oleh Salmah.
Kerusi patah dibawa oleh Yusof

Santapan Minda 3 : Kisah Rumput



Pada suatu pagi di sebuah sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang guru yang sedang mengajar. Ketika itu, guru tersebut sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini :

Pelajar : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang?. Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu : Oh, awak nak tahu ke?.Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye...mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.

Pelajar : Baiklah...apa yang saya harus buat?

Cikgu : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang PALING cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.

Pelajar : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang cikgu suruh.

Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tersebut.

Cikgu : Mana rumput yang cikgu suruh petik?

Pelajar : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut.

Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah yang paling cantik kita jumpa dan paling baik pada MULAnya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. KECUALILAH jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.

Santapan Minda 2 : Kasih Seorang Adik



Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang… !” aku terdengar ibu teresak-esak.
“Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. “Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg… .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat… ..

Kak… untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: “Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak… .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”

Apalagi… aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya… .”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Santapan Minda 1 : Kisah Sebuah Jam



Alkisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya. “Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?”

“Ha?,” kata jam terperanjat, “Mana sanggup saya?”

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?” tanya si pembuat jam.

“Lapan puluh enam ribu empat ratus kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” cadang si pembuat jam.

“Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali? Banyak sekali itu” tetap saja jam ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

jam dengan penuh kesabaran kemudian berkata lagi kepada si jam. “Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap detik?”

“Oh, kalau begitu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh semangat.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap detik. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan itu bererti ia telah berdetik sebanyak 31,104,000 kali.

Moral :
Ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tugas pekerjaan yang begitu terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu. Malah yang kita anggap mustahil untuk dilakukan sekalipun.

Thursday, March 18, 2010

Program Khas Cuti Sekolah - Minggu Canang UPSR 1




Tahniah kerana menggunakan masa cuti dengan program keilmuan. Semoga beroleh kejayaan dalam UPSR 2010.
M. Syahmi (SK Balok Makmur), Syuhada Azwani, Izzah Atirah, Syafik Izzudin, Nizam Hamdan, Izham, Rayhaiman, Aina Adriana, Farhana Dayana & Nur Hanani (SK Seri Mahkota)