Monday, August 23, 2010

Kesalahan Tatabahasa





Ayat Aktif dan Ayat Pasif

A. AYAT AKTIF:
i. Ayat aktif ialah ayat yang mana “pelaku” terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala “benda yang kena buat” terletak di belakang (sebagai pradikat ayat)
ii. Biasanya kata kerja berimbunan ‘meN….’, ‘men….kan’ dan ‘men….i’.
iii. Contoh : Ali sedang memancing ikan. (Ali ialah pelaku (di depan) dan ikan ialah benda kena buat)


B. AYAT PASIF:
i. Ayat pasif ialah ayat yang mana ‘benda kena buat’ terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala ‘pelaku’ terletak di belakang (sebagai pradikat).
ii. Biasanya kata kerja berimbuhan ‘di……’; ‘di…..kan’ atau ‘di….i’. Kata kerja juga boleh menggunakan perkataan ‘kena’. Kekecualian untuk pelaku gantinama diri pertama dan kedua yang mesti mendahului kata kerja tanpa imbuhan.
Contoh :
i. Ikan itu dipancing oleh Ali.
ii. Ikan itu kamu pancing. (pelaku diri kedua)
iii. Ikan itu saya pancing. (pelaku diri pertama)


C. CONTOH MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF:
Tukarkan ayat-ayat di bawah kepada ayat pasif.

1. Bapa saudara saya sedang menebang sebatang pokok kelapa di sebelah rumah barunya.
Ayat pasif : Sebatang pokok kelapa di sebelah rumah barunya itu sedang ditebang oleh bapa saudara saya.

2. Guru disiplin yang garang itu sedang memarahi pelajar lelaki yang tidak memakai lencana sekolahnya.
Ayat pasif : Pelajar lelaki yang tidak memakai lencana sekolahnya itu sedang dimarahi oleh guru disiplin yang garang tersebut.

3. Doktor yang berkaca mata tebal itu sedang menjalankan pembedahan ke atas pesakit tersebut.
Ayat pasif : Pembedahan ke atas pesakit tersebut sedang dijalankan oleh doctor yang berkaca mata tebal itu.

4. Saya telah melukis gambar pemandangan di tepi pantai itu.
Ayat pasif : Gambar pemandangan di tepi pantai itu telah saya lukis.

5. Awak belum menjelaskan yuran keahlian persatuan Sains dan Matematik.
Ayat pasif : Yuran keahlian persatuan Sains dan Matematik itu belum awak jelaskan.


D. LATIHAN:
Tukarkan ayat-ayat aktif yang diberi di bawah kepada ayat-ayat pasif.

1. Encik Tan sedang menjalankan perniagaan memperbaiki motosikal di Bandar Melaka.

2. Kucing jantan berbulu lebat itu menangkap seekor tikus yang sangat besar.

3. Lebuh Raya Utara selatan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

4. Pelumba kereta Formula 1 dari Amerika Syarikat itu memenangi kejuaraan tersebut pada pagi tadi.

5. Pelatih jururawat di hospital itu menggunakan sarung tangan plastik ketika bertugas.

6. Saya akan mengharungi segala cabaran itu walaupun amat berat untuk dipikul.

7. Kalian patut menyeberangi jalan raya menuju ke sungai itu pada sebelah petang nanti.

8. Beta akan memperkenankan segala permintaan kamu jika kamu berkata benar.

9. Kami akan membincangkan usul mesyuarat ini dalam perjumpaan kita pada masa depan.

10. Jangan mengulangi kesalahan-kesalahan itu lagi pada masa yang akan datang.

11. Kucing itu mengejar seekor tikus sehingga ke hujung jalan raya tersebut.

12. Peguam berjanggut panjang tersebut mewakili pesalah itu dalam perbicaraan di mahkamah.

13. Ibu melayani tetamu yang hadir di rumah kami dengan hidangan yang dibuatnya sendiri.

14. Ayah menunjukkan baju yang baru dibelinya itu kepada emak yang sedang membaca buku.

15. Jiran saya sedang mengisi sampah-sarap ke dalam plastik untuk dibuang.



E. CONTOH MENUKARKAN AYAT PASIF KEPADA AYAT AKTIF:
Tukarkan ayat-ayat di bawah kepada ayat aktif.

1. Bola itu ditendang dengan kuat oleh pemain Brazil tersebut.
Ayat aktif : Pemain Brazil tersebut menendang bola itu dengan kuat.

2. Perasaan gadis itu dipermainkan oleh pemuda bermata keranjang yang tinggal di bandar.
Ayat aktif : Pemuda bermata keranjang yang tinggal di bandar itu mempermainkan perasaan gadis tersebut.

3. Ujian untuk memasuki kelas memandu kereta itu telah saya duduki pada awal bulan lalu.
Ayat aktif : Saya telah menduduki ujian untuk memasuki kelas memandu kereta itu pada awal bulan lalu.

4. Maklumat tentang pelaburan saham tersebut sedang diperjelaskan oleh pegawai dari Amanah Saham Nasional.
Ayat aktif : Pegawai dari Amanah Saham Nasional itu sedang memperjelaskan maklumat tentang pelaburan saham tersebut.

5. Getah yang telah diproses itu telah dimasukkan ke dalam bekas plastik oleh para pekerja di bahagian pemprosesan.
Ayat aktif : Para pekerja di bahagian pemprosesan telah memasukkan getah yang telah diproses itu ke dalam bekas plastik.


F. LATIHAN :
Tukarkan ayat-ayat pasif di bawah supaya menjadi ayat aktif.

1. Wang sebanyak RM7 bilion telah diperuntukan oleh kerajaan bagi merangsang ekonomi negara yang sedang menghadapi kemelut ekonomi.

2. Hadiah menyertai pertandingan drama itu telah diberi oleh sebuah syarikat tempatan bagi menarik penyertaan orang ramai.

3. Bahagian dapur rumah tumpangan itu sedang diperluas oleh pekerja kontraktor bagi memudahkan keluarga yang menetap di situ.

4. Cek bernilai RM350 yang saya beri pagi tadi telah kamu tunaikan di sebuah bank saudagar di Kuala Lumpur.

5. Pendidikan teknologi maklumat telah diperkenalkan oleh kerajaan di semua sekolah bagi semua mata pelajaran teras.

6. Jambatan Kedua Pulau Pinang yang baru siap pada bulan Disember itu telah beta rasmikan pada akhir bulan itu.

7. Doanya agar dia berjaya dalam peperiksaan SPM telah diperkenankan oleh Tuhan apabila dia lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan itu.

8. Adat pepatih telah diperkenalkan di negara kita oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera, Indonesia pada sekitar tahun 1520'an.

9. Para pelanggan yang berkunjung ke pusat membeli belah itu telah ditawarkan harga diskaun sehingga 50 peratus oleh pemilik pusat terbabit.

10. Penyertaan golongan bumiputera dalam sektor perkilangan akan diperluas oleh pihak kerajaan bagi memacu pendapatan golongan tersebut.

11. Kakitangan awam diberi ganjaran oleh kerajaan bagi meningkatkan prestasi kerja mereka pada setiap akhir tahun.

12. Kebun di kawasan pinggir pantai itu dipenuhi dengan pokok nipah dan belukar kecil sejak ditinggalkan oleh pemiliknya.

13. Kakak menghadiahi ibu sepasang anting-anting dan seutas rantai emas sempena ulang tahun kelahirannya.

14. Kawasan kampung di pedalaman sabah telah dijelajahi oleh peserta lumba basikal itu dalam pertandingan Jelajah basikal di negeri tersebut.

15.Mat Piah ditanduk oleh seekor kerbau yang sedang mengamuk berhampiran dengan sawah padinya pada petang kelmarin.

Kesalahan Istilah dan Tatabahasa

MENGESAN KESALAHAN ISTILAH DAN TATABAHASA

A. Kesalahan istilah:
Kesalahan istilah bermaksud kesalahan penggunaan kata iaitu penggunaan perkataan yang tidak sesuai dengan kehendak ayat atau situasi.
Contoh 1:
Salah : Kakaknya bekerja sebagai pragawati di Syarikat Penerbangan Malaysia dan sering ke luar negara.
Betul: Kakaknya bekerja sebagai pramugari di Syarikat Penerbangan Malaysia dan sering ke luar negara.
Contoh 2:
Salah: Ibu mencuci ikan yang dibeli oleh ayah dari kedai itu tadi.
Betul: Ibu menyiang ikan yang dibeli oleh ayah dari kedai itu tadi.

B. Kesalahan tatabahasa:
Kesalahan tatabahasa bermaksud semua bentuk kesalahan dalam pembinaan ayat yang gramatis. Kesalahan ini melibatkan kesalahan hokum tatabahasa.
Contoh 1:
Salah: Sungai Pahang ialah sungai yang terpanjang sekali di Semenanjung Malaysia.
Betul: Salah: Sungai Pahang ialah sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Contoh 2:
Salah: Azim diberi masa dua setengah jam untuk sampai ke tempat pertandingan itu.
Betul: Azim diberi masa dua jam setengah untuk sampai ke tempat pertandingan itu.

Latihan:
Setiap ayat mengandungi satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Betulkan ayat tersebut dengan menulis semula ayat tersebut.

1. “Adakah menu yang dihidangkan oleh tukang masak di hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut.

2. Bapa saudaranya memperoleh pendapat yang agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dia buat.

3. Biarpun wajah kedua-dua pemuda itu agak sempadan, tetapi perangai pemuda bertubuh gempal itu lebih baik dari seorang pemuda lagi.

4. Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah di atas tuduhan memalapkan wang syarikat tersebut.

5. Azmir tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan menjajah ke seluruh negeri Melaka yang syarikat itu anjurkan.

6. Beribu ayam ternakan dimusnahkan oleh kerajaan Maxico akibat sindrom selsema burung yang menyerang di beberapa buah daerah di negara itu.

7. Semua mangsa tsunami dipindahkan oleh kami ke pusat petempatan sementara sebaik-baik menerima arahan daripada pihak berkuasa.

8. Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti.

9. Setelah meneliti semua syarat-syarat yang ditetapkan di dalam surat perjanjian oleh peguam, akhirnya Ah Chong bersetuju untuk menulis surat perjanjian tersebut.

10. Buku itu telah saya hantar ke pengirimnya semalam mengikut alamat yang tercatat pada bungkusan buku tersebut.

11. Sebelum mesyuarat pada hari itu berakhir, pengerusi mesyuarat telah meminta pandangan ahli yang hadir untuk membincangkan lain-lain hal dan seterusnya menunda mesyuarat tersebut.

12. Pada hari ini, masalah penggunaan dadah di kalangan remaja semakin membimbangkan dan jalan penyelesaian perlu segera diambil.

13. Pada masa kini, bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik puluh bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita.

14. Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain.

15. Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri.

16. Ayah sangat gemarkan makanan yang dimasak oleh ibu terutamanya ayam goreng yang dibaluti tepung itu.

17. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam, akhirnya pemjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan.

18. Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara.

19. Mereka-mereka yang hadir ke majlis makan malam perdana pada malam itu dihiburkan dengan petikan biola seorang ahli muzik tanah air yang amat terkenal.

20. Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan.

21. Seorang daripada peserta kereta lumba itu telah menarik diri daripada pertandingan kerana dua butir tayar kereta yang dipandunya meletup.

22. Tiap pagi hari minggu, ibu akan membangunkan kami daripada tidur dan mengajak kami berjoging di taman yang berhampiran.

23. Pekerja di kilang menjahit songket itu memberi syarahan kepada kami tentang perjalanan kilang tersebut sebaik sahaja kami sampai di situ.

24. Mereka menempuh berbagai cabaran sejak ketua keluarga itu tidak bekerja kerana terlibat dalam kecederaan.

25. Kami amat terkejut bila mendapat tahu bahawa ada seekor lembu mati kerana digiling kereta api di kawasan landasan itu.

26. Terdapat beribu ekor rusa telah dipelihara di kawasan ternakan Pulau Kerdas.

27. Pekerja yang mengambil cuti itu menjatuhkan tandatangan kepada borang di atas meja tersebut sebelum menyerahkan borang itu kepada pengurusnya.

28. Ibu menghadiahkan kakak sebuah telefon tangan kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

29. Setengah penonton yang tidak berpuas hati telah membaling objek seperti botol apabila para pemain gagal memasukkan gol.

30. Pegkaji di hospital itu telah mengemukakan sebuah pendapat bagi membendung wabak selsema burung daripada meluas kepada orang ramai.

31. Adalah dimaklumkan bahawa pertunjukan pakaian ini akan dirasmikan oleh seorang tokoh perniagaan yang terkenal.

32. Rakyat Malaysia perlu berusaha mengekalkan kemerdekaan negara dari masa ke semasa agar tanah air yang tercinta ini tidak akan dijelajah lagi.

33. Rakyat diseur membeli barangan tempatan demi untuk mengurangkan pegerakan wang ke luar negara.

34. Anggota pasukan keselamatan itu sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan tanah air kita dari ancaman musuh.

35. Kebanyakan peserta-peserta yang menyertai acara lumba basikal itu terpaksa melalui jalan yang berbelok-belok sebelum tiba ke garisan penamat.

36. Para peserta yang menyertai perlawanan memasak tersebut akan disediakan dengan berapa jenis bahan masakan di ruang masakan itu.

37. Perdana Menteri menggesa pemaju-pemaju perumahan agar mempercepatkan kerja-kerja pembinaan rumah kos bawah yang masih terbengkalai.

38. Menurut Badan Pencegah Rasuah, kejayaan perumahan itu ialah disebabkan oleh kelemahan pengurusan syarikat terbabit.

39. Nama julukan artis yang terkenal itu adalah Mawi.

40. Walaupun Rajagopal cuba untuk menyembunyikan perbuatan jenayah yang dia lakukan, namun perbuatan jahatnya itu terbungkam juga.

41. Bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekeliling, pihak berkuasa perlu memberi pendidikan yang sewajarnya pada orang ramai.

42. Tapak sisih yang dibawa oleh rombongan pengantin lelaki itu telah mereka serahkan kepada pihak pengantin perempuan.

43. Pengetua telah mengakui bahawa salinan sijil yang pemuda itu runjukkan adalah benar setelah melihat sijil asal yang dikemukakan.

44. Jabatan Perhilitan akan mengadakan penyiasatan untuk mendapatkan maklumat tentang kepupusan beberapa jenis burung di negara kita dalam tempoh satu setengah tahun.

45. Para budayawan mestilah memerah minda untuk sama-sama memikir dan mencari jalan untuk mengatasi masalah pendidikan di negara kita.

46. Jika sekiranya surat itu hendak dikirim nanti, anda hendaklah menggunakan khidmat pos segera.

47. Ini kerana cara ini lebih selamat dan mereka dapat menyiapkan tugasan itu dalam tempuh yang singkat.

48. Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan pelajar terlibat supaya bersabar menunggu keputusan yang bakal di buat pada minggu hadapan.

49. Tumpuan kini ialah kea rah mempertingkatkan kemahiran dan keterampilan pekerja dari masa ke semasa hingga mencapai satu tahap yang dikehendaki.

50. Kerajaan menyarankan agar pengilang dan pengusaha Malaysia sentiasa menjalankan penyelidikan dan menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan mutu barang keluaran mereka.

KATA BILANGAN

1. MAKSUD :
Kata bilangan ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan jumlah.

2. JENIS KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan tentu : Kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tepat
Contoh: satu, dua, seratus, sejuta, tiga puluh tiga dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tak tentu : Menunjukkan bilangan yang tidak pasti
Contoh: semua, banyak, ramai, pelbagai, berbagai-bagai, sekumpulan, sekawan dan lain-lain.

iii. Kata bilangan pisahan: Kata bilangan yang menunjukkan sifat dipisahkan
Contoh: berdua-dua, ketiga-tiga, masing-masing, tiap-tiap

iv. Kata bilangan tingkat : Menunjukkan maksud tempat
Contoh: pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.

v. Kata bilangan pecahan :
Contoh: suku, separuh, tiga suku, dua per tiga dan sebagainya.

3. KONSEP KATA BILANGAN :

i. Kata bilangan jamak: Menunjukkan maksud lebih daripada satu
Contoh: semua, beberapa, kebanyakan, pelbagai, berhari-hari dan sebagainya.

ii. Kata bilangan tunggal : Menunjukkan maksud bilangan tunggal atau satu
Contoh: satu, se

4. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA BILANGAN :

a. Ada kata bilangan yang tidak boleh digandakan. (salah jika digandakan)
Salah:
-pelbagai-pelbagai hadiah diberi.
-para-para pelajar yang hadir,
Betul:
-pelbagai hadiah diberi.
-berbagai-bagai hadiah diberi.
-para pelajar yang hadir

b. Ada kata bilangan yang tidak boleh disingkatkan/ ditunggalkan.
Salah:
-Dia ke sekolah pada tiap pagi.
-Berbagai cabaran telah ditempuh.
Betul:
-Dia ke sekolah pada tiap-tiap pagi.
-Dia ke sekolah pada setiap pagi.
-Berbagai-bagai cabaran telah ditempuh.
-Pelbagai cabaran telah ditempuh.

c. Kata bilangan berimbuhan ‘ber….’ Mesti digandakan.
Salah:
-Lori itu membawa berguni beras ke kilang.
-Sudah bertahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan air sejuk.
Betul:
-Lori itu membawa berguni-guni beras ke kilang.
-Sudah bertahun-tahun lamanya kami merantau.
-Dia minum bercawan-cawan air sejuk.

d. Jika kata bilangan sudah jamak, kata nama yang mengikutinya tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak buku-buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung-burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan-ikan berjaya dipancing.
Betul:
-Banyak buku yang disediakan di perpustakaan.
-Sekawan burung hinggap di atas pokok.
-Beberapa ekor ikan berjaya dipancing.

e. Jika kata bilangan berakhiran dengan ‘…….an’, kata nama juga tidak boleh digandakan.
Salah:
-Barisan pelakon-pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang-bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta-peserta mengambil bahagian pada malam ini.
Betul:
-Barisan pelakon akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
-Sinaran bintang kelihatan di dada langit.
-Puluhan peserta mengambil bahagian pada malam ini.

f. ‘Kata bilangan jamak’, tidak boleh disertai dengan ‘penjodoh bilangan’.
(kecuali : beberapa dan kata bilangan tentu seperti tiga, empat, lima dan sebagainya)
Salah:
-Semua ekor ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan orang pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.
Betul:
-Semua ikan yang dibelinya itu sudah busuk.
-Kebanyakan pengakap yang hadir turut memberi sumbangan.

g. Jika kata bilangan jamak digunakan, kata adjektif bagi kata nama tidak boleh digandakan.
Salah:
-Banyak ikan yang besar-besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang-garang dan sukar untuk ditemui.
Betul:
-Banyak ikan yang besar di kawasan hulu sungai itu.
-Semua pegawai di situ garang dan sukar untuk ditemui.

h. Kata bilangan jamak boleh digunakan untuk kata nama yang memang berganda.
Salah:
-Di kawasan sungai itu banyak kura.
-Ramai mata bertugas di tempat ini.
Betul:
-Di kawasan sungai itu banyak kura-kura.
-Ramai mata-mata bertugas di tempat ini.

i. Kata bilangan berimbuhan ‘ke….’ yang menunjukkan jumlah mestilah digandakan.
Salah:
-Polis berjaya membarkas kelima perompak itu.
-Kedua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.
Betul:
-Polis berjaya membarkas kelima-lima perompak itu.
-Kedua-dua beradik kembar tersebut berpisah ketika berusia dua tahun.

j. ‘Kata bilangan tentu’ (satu, dua, dan sebagainya) tidak boleh rapat dengan ‘kata bilangan pecahan’. (letak objek di antara kata bilangan ini)
Salah:
-Kami mengambil masa dua setengah hari untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga suku jam untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu suku sudu garam ke dalam masakan itu.
Betul:
-Kami mengambil masa dua hari setengah untuk sampai di sini.
-Anda hanya diberi tempoh tiga jam suku untuk menyiapkan tugas ini.
-Masukkan satu sudu suku garam ke dalam masakan itu.

Hukum DM (Diterangkan Menerangkan)

FRASA DM DAN HUKUM DM:

1. MAKSUD:
a. Frasa DM berkaitan dengan cara sebutan frasa dalam bahasa Malaysia. Frasa dalam bahasa Malaysia adalah bertentangan dalam bahasa Inggeris.
b. D bermaksud ‘dibuat’ atau ‘benda/ perkara/objek”. M pula bermaksud ‘membuat” atau ‘sifat benda’ itu.
c. Frasa bahasa Malaysia berbentuk DM kerana “benda mendahului sifatnya”.

2. CONTOH PERBANDINGAN HUKUM DM :
Frasa Bahasa Malaysia : ('benda' diikuti 'sifat')
Contoh:
-Rumah saya
-Kereta baru
-Bebola ikan
-Lampu kereta
-Buku teks
-Kereta Proton
-Idea baru

Frasa Bahasa Inggeris : ('sifat' diikuti 'benda') / dikira salah dalam bahasa Malaysia.
Contoh:
-Saya rumah (my house)
-Baru kereta (new car)
-Ikan bebola (fish ball)
-Kereta lampu (car lamp)
-Teks buku (text books)
-Proton kereta (proton cars)
-Baru idea (new idea)


3. KESALAHAN PENGGUNAAN HUKUM DM:

i. Kesalahan kerana meletakkan ‘sifat di hadapan’ manakala ‘benda di belakang”.

Salah : (kerana mengikut struktur MD/ bahasa Inggeris)
- dia menaiki mini bas.
-makan di Aisyah Restoran.
-makan Maggie mee.
-naik Mara Ekspress
-bercicahkan cili sos.
-membeli goreng pisang.
-di Ah Kong kedai basikal.
-berbincang lain hal.

Betul: (kerana mengikut struktur DM/ struktur bahasa Malaysia)
-dia menaiki bas mini.
-makan di Restoran Aisyah.
-makan mi Maggie.
-naik Ekspress Mara.
-bercicahkan sos cili.
-membeli pisang goreng.
-di kedai basikal Ah Kong.
-berbincang hal lain.

ii. Kesalahan kerana menggandakan sifat benda. Pastikan “benda di hadapan” dan “benda yang digandakan”.

Contoh:
Salah: (salah kerana ‘sifat’ digandakan)
-hal lain-lain
-perkara lain-lain
-peristiwa lain-lain
-buku lain-lain-buku bacaan lain-lain
Contoh:
Salah: (salah kerana 'sifat' diletak di hadapan dan 'sifat' digandakan)
-lain-lain hal
-lain-lain perkara
-lain-lain peristiwa
-lain-lain buku
-lain-lain buku bacaan
Contoh:
Betul: (betul kerana ‘benda’ di depan dan ‘benda’ digandakan)
-hal-hal lain
-perkara-perkara lain
-peristiwa-peristiwa lain
-buku-buku lain
-buku-buku bacaan lain.

4. Contoh penggunaan hukum DM yang salah:
i. Ahmad Said menjamu tetamunya dengan goreng pisang yang masih panas.
ii. Kami menaiki mini bas yang berhawa dingin untuk menuju ke destinasi tersebut.
iii. Pada akhir waktu pembelajaran, Cikgu kamil menerangkan lain-lain faktor yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

KATA PEMERI ( ialah vs adalah)

1. JENIS KATA PEMERI:

i. ialah : digunakan jika di depannya kata/frasa nama dan kata/frasa kerja sahaja.

ii. adalah : di gunakan untuk kata/ frasa adjektif dan kata/frasa sendi sahaja.

2. KESALAHAN PENGGUNAAN KATA PEMERI:

i. ‘ialah’ hanya boleh diikuti dengan kata nama atau frasa nama sahaja.

Salah:
-Nama kampung saya adalah Kampung Pinang Sebatang.
-Tanaman yang banyak ditanam di kawasan tanah tinggi itu adalah buah-buahan.
Betul:
-Nama kampung saya ialah Kampung Pinang Sebatang.
-Tanaman yang banyak ditanam di kawasan tanah tinggi itu ialah buah-buahan.


ii. ‘adalah’ hanya boleh digunakan untuk kata/ frasa adjektif dan kata/frasa sendi

Salah:
-Keadaan di pusat perkelahan itu ialah sangat cantik dan menarik.
-Tempat tinggalnya ialah di Kampung Pinang Sebatang.
-Pegawai itu ialah dari Pusat Penyelidikan Ikan Malaysia.
Betul:
-Keadaan di pusat perkelahan itu adalah sangat cantik dan menarik.
-Tempat tinggalnya adalah di Kampung Pinang Sebatang.
-Pegawai itu adalah dari Pusat Penyelidikan Ikan Malaysia.


iii. ‘kata nafi’ iaitu ‘tidak’ dan ‘bukan’ hanya boleh digandingkan dengan ‘adalah’. ( kata pemeri ‘adalah’ boleh ditiadakan untuk kata nafi)

Salah:
-Kenyataan yang anda beri tadi ialah tidak benar sama sekali.
-Pemuda yang bermisai tebal itu ialah bukan abang kandungnya.
-Pakaian seperti itu ialah tidak sesuai dipakai dalam majlis seperti ini.
Betul:
-Kenyataan yang anda beri tadi adalah tidak benar sama sekali.
-Kenyataan yang anda beri tadi tidak benar sama sekali.
-Pemuda yang bermisai tebal itu adalah bukan abang kandungnya.
-Pemuda yang bermisai tebal itu bukan abang kandungnya.
-Pakaian seperti itu adalah tidak sesuai dipakai dalam majlis seperti ini.
-Pakaian seperti itu tidak sesuai dipakai dalam majlis seperti ini.