Saturday, April 9, 2011

Latihan Penulisan

Soalan:
Kegiatan jenayah di negara kita semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dilakukan oleh masyarakat untuk membanteras kegiatan jenayah ini.


Jawaban:

Strategi:
T=Membanteras Kegiatan Jenayah
K=Peranan Masyarakat
F=Umum

Isi:
1. Bekerjasama dengan pihak polis. Contoh: Menyertai Rakan Cop

2.Peka terhadap persekitaran dan isu semasa. Contoh: Mengambil berat tentang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan setempat.

3. Mengadakan kempen Cegah Jenayah di Kawasan setempat. Sebagai contohnya: Bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Dlm Negeri dan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat untuk menganjurkan kempen tersebut.

4. Bekerjasama mengawal keselamatan kawasan tempat tinggal. Contoh:Menubuhkan Rukun Tetangga


Peribahasa yang perlu dimasukkan:

1. cubit paha kiri paha kanan terasa juga
2. mata dan telinga
3. muafakat membawa berkat
4. berat sama dipikul ringan sama dijinjing
5. Bersatu teguh bercerai roboh
6. Menjaga tepi kain orang
7. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
8. Bagai aur dengan tebing
9. ada hati
10. mengambil berat
11. bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
12. Jiran sepakat membawa berkat
13. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan
14.ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni
15. menjadi duri dalam daging
16. gunting dalam lipatan
17. buah mulut

Sumber : http://panitiabmsmkss.blogspot.com/2011/01/latihan-karangan-semasa-cuti-tahun.html

Cakna Bahasa : Teknik Peluasan Ayat -5W1H

)Teknik Peluasan Ayat -5W1H
Teknik Peluasan Ayat 5W1H ialah satu teknik yang menggunakan maklumat tentang apa, siapa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana untuk mengembangkan ayat. Teknik ini amat bersesuaian digunakan oleh calon SPM untuk menjawab soalan 3(a) dalam Kertas 2 Bahasa Melayu.


Soalan contoh:
Bina ayat dengan menggunakan perkataan `gerakan’.
Untuk membina ayat dengan menggunakan perkatan `gerakan’, murid hendaklah melakukan langkah-langkah yang berikut:

Langkah1: Bina frasa `’melancarkan gerakan” (apa)

Langkah 2: Masukkan subjek ayat (siapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan”

Langkah 3: Masukkan keterangan (Mengapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu ”

Langkah 4- Masukkan keterangan masa (Bila)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam.”

Langkah 5- Masukan keterangan tempat (Di mana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal itu.”

Langkah 6- Masukkan keterangan cara (Bagaimana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal itu dengan menggunakan seekor anjing.”


Soalan Kuiz:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah dengan menggunakan Teknik Peluasan 5W1H supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) gerangan
(ii) berangan
(iii) barangan
(iv) larangan
(v) bayangan
(vi) kayangan



Pemenang Kuiz Bersempena dengan Kem Akademik 2011


Nama: Norizzati Tukijo Kelas: 5 Setia

Jawapan yang dikemukakan:

(i) GERANGAN
Siapakah gerangan tuan hamba (3) yang begitu berani (5) menyelamatkan beta (1) daripada ancaman lanun dengan menggunakan sebilah pedang panjang (6) di tengah-tengah lautan (4) yang sedang bergelora sebentar tadi (2)?



(ii) BERANGAN
Pagi tadi (2), sambil menopang dagunya dengan tangan kirinya(6), Amir (3) berangan (1) ketika gurunya sedang mengajar (2) di dalam kelas (4) kerana dia rindu akan buah hatinya, Siti (6).

(iii) BARANGAN
Semalam (2), kerajaan (3) telah mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia (1) di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara (4) yang bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia (5) dengan harga yang berpatutan dan membantu pengusaha tempatan (6) untuk menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan (5).

(iv) LARANGAN
Mulai April 2011 (2), kerajaan (3)akan menambah zon larangan merokok (1)di semua tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa dan lobi-lobi hotel (4) serta mengenakan hukuman yang tinggi kepada prokok (6) bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok akibat terhidu asap rokok (5) .

(v) BAYANGAN
Pada setiap malam (2), ketika di kamar (4), iaitu sebelum tidur, bayangan wajah nenek (3)yang telah meninggal dunia lima tahun lalu masih jelas di dalam mindaku (1) kerana nenek merupakan insan yang selalu memberikan perangsang dan dorongan (5) atas kejayaanku pada hari ini dengan sentiasa menggalakkanku mengerjakan solat dan belajar dengan bersungguh-sungguh (6).

(vi) KAYANGAN
Seri Dewi Maya(3) yang tinggal di alam kayangan telah turun ke dunia (1) pada malam itu(2) dengan menaiki kuda terbangnya (6) bagi menjalani kehidupan sebagai seorang manusia biasa (5) di sebuah hutan belantara (4).

Catatan:
Nombor (1) hingga (5) yang terdapat dalam ayat (i) hingga (vi) di atas mewakili:
1-apa, 2-bila, 3-siapa, 4-di mana 5-mengapa, 6. bagaimana


Latihan:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah dengan menggunakan Teknik Peluasan dan Teknik Acuan Ayat supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
i. Menghadiahkan – menghadiahi
ii. Menganugerahkan – menganugerahi
iii. Menghutangkan – menghutangi


Sumber : http://panitiabmsmkss.blogspot.com/2011/03/1teknik-peluasan-ayat-5w1h.html

Cara untuk menulis jawapan rumusan SPM:

Soalan Contoh:
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang keistimewaan bioteknologi dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut .Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan”

Jawapan Pengenalan:
(1) Petikan membincangkan keistimewaan bioteknologi di negara kita. [1M]
(2) Petikan ini tentang keistimewaan bioteknologi di negara kita dan langkah-langkah untuk menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang tersebut. [0M]
(3) Petikan membincangkan kelebihan bioteknologi di negara kita. [2M]
(4) Petikan membincangkan manfaat bioteknologi di negara kita.[2M]
(5) Petikan membincangkan kebaikan bioteknologi di negara kita.[2M]

Jawapan Isi Tersurat:
Keistimewaan bioteknologi ialah petani dapat bercucuk tanam walaupun di kawasan tanah yang tidak subur. Selain itu, bioteknologi dapat membantu petani untuk mengatasi masalah serangga perosak. Seterusnya, bioteknologi dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi. Bioteknologi yang tidak menggunakan racun perosak pula dapat memelihara alam sekitar. Bioteknologi dalam bidang pertanian juga dapat mengatasi masalah rumpai. Bukan itu sahaja, bioteknologi dapat menghasilkan makanan yang berkhasiat dan bervitamin. Di samping itu, bioteknologi dapat menghasilkan insulin untuk pesakit diabetis. Akhir sekali, bioteknologi mampu merawat bahan-bahan buangan bertoksik yang berbahaya.

Jawapan Isi Tersurat:
Satu daripada langkah untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ini ialah pihak kerajaan hendaklah memperbanyak kursus Bioteknologi di universiti. Selain itu, kerajaan hendaklah memberikan anugerah kepada saintis negara yang menghasilkan dapatan bioteknologi yang terbaru.

Jawapan Kesimpulan:
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong bidang bioteknologi supaya bidang ini dapat meningkatkan pembangunan negara.

Kesalahan Bahasa yang sering dilakukan:

Petikan menyatakan tentang kebaikan bioteknologi….[x]
Petikan menyatakan kebaikan bioteknologi….[/]

Salah satu daripada kebaikan bioteknologi..[x]
Salah satu kebaikan bioteknologi..[/]
Satu daripada kebaikan bioteknologi[/]
Satu daripada kebaikannya ialah…[/]

Antara kebaikan-kebaikan bioteknologi ialah…[x]
Antara kebaikan bioteknologi ialah…[/]
Antara kebaikannya ialah …[/]

Selain daripada itu,[x]
Selain itu, ….[/]

Sehubungan itu,[x]
Sehubungan dengan itu, [/]

Elkkan penggunaan perkataan `justeru', `tambahan pula', dan `manakala' dalam penulisan rumusan.Ketiga-tiga perkataan ini ialah kata hubung. Sebenarnya, banyak murid yang menggunakan kata hubung tersebut sebagai penanda wacana tidak tepat.

Sumber : http://panitiabmsmkss.blogspot.com/2011/02/cara-untuk-menulis-jawapan-rumusan-spm.html

Cakna Bahasa: Kekeliruan Penanda Wacana

Banyak pelajar yang gemar menggunakan perkataan `justeru’, `tambahan pula’ dan `sementelahan’ dalam jawapan rumusan SPM. Sebenarnya, perkataan tersebut ialah kata hubung.

Dalam bahasa Melayu, kata hubung sememangnya dapat digunakan sebagai penanda wacana jika penggunaannya tepat dari segi makna dan fungsi atau tujuan. Sila lihat jawapan contoh rumusan yang di bawah ini.

Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Justeru, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Tambahan pula, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Sementelahan, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

Ulasan:

Perkataan `justeru’ bermaksud malahan. Perkataan `tambahan pula’ dan `sementelahan’ bermaksud lebih-lebih lagi. Ayat yang tepat untuk ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Saya tidak pernah memperkecil kebolehannya, justeru saya selalu menyokongnya dalam setiap perlawanan.
2. Pemain pasukan itu sangat lincah, tambahan pula tendangannya sering mengelirukan pihak lawan.
3. Kita hendaklah meneruskan serangan yang bertubi-tubi ke pintu gol lawan kerana pasukan kita telah ketinggalan, sementelahan masa permainan tinggal beberapa minit lagi.

Ada sesetengah pengguna bahasa menggunakan perkataan `justeru’ untuk maksud `oleh itu’. Namun demikian, pihak penyusun Kamus Dewan masih belum memberikan makna `justeru’ sebagai `oleh itu’. Oleh hal yang demikian, elakkanlah penggunaan perkataan tersebut sebagai penanda wacana.

Frasa `tambahan pula’ yang berfungsi sebagai kata hubung boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam perenggan. Sila lihat contoh yang berikut:

`Pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana remaja yang terlibat dalam aktviti perlumbaan motosikal haram. Tambahan pula, aktiviti ini semakin lama semakin leluasa jika aktiviti mereka dibiarkan. Melalui tindakan yang tegas, mereka akan berasa bimbang untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan tersebut, lesen memandu mereka hendaklah digantung selama setahun atau dikenakan penjara jika melibatkan kemalangan. Dengan cara ini, mereka akan meninggalkan kegiatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang.

Frasa `tambahan pula’ juga tidak boleh digunakan di awal perenggan karangan sebagai penanda wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut berfungsi untuk memberikan penjelasan lanjut tentang maklumat atau ayat isi sebelumnya. Selain itu, isi yang diperkatakan dalam perenggan itu berbeza dengan isi dalam perenggan sebelumnya. Sebagai contohnya:

Tambahan pula, pihak kerajaan hendaklah mempergiat kempen keselamatan jalan raya sama ada di media massa atau di media cetak. Kempen seperti ini sudah tentu akan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa nyawa diri sendiri dan orang lain sangat berharga. Sebagai contohnya, pengguna perlu dipertontonkan kes-kes kemalangan negeri yang menyebabkan kematian dari masa ke masa menerusi televisyen. Melalui cara ini, mereka akan menyedari bahawa mereka perlu menyayangi nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.

Penanda wacana yang sesuai untuk perenggan di atas ialah `selain itu’, `di samping itu’, `bukan itu sahaja’, dan sebagainya.

Jawapan yang tepat:
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.

Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Selain itu, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Di samping itu, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.

Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Selain itu, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.

sumber : http://panitiabmsmkss.blogspot.com/2011/02/rumusan-spm-penanda-wacana.html

Monday, April 4, 2011

JOHAN PERTANDINGAN NASYID ZON JUARA

Ucapan tahniah dihulurkan kepada pihak pengurusan dan ahli Nasyid Shautul Mujahidin daripada SMK Sungai Baging kerana telah menjuarai Pertandingan Nasyid Sempena Majlis Tadarus Al-Quran Zon Juara pada 30 Mac 2011.

InsyaAllah pada pertengahan April nanti, kumpulan nasyid ini akan berentap sekali lagi pada peringkat daerah. Semoga semua ahli dapat bersedia dari sekarang. Semoga Terus berjaya. Kekalkan keakraban dalam pasukan.

video
Sesi Latihan