Saturday, April 9, 2011

Cakna Bahasa : Teknik Peluasan Ayat -5W1H

)Teknik Peluasan Ayat -5W1H
Teknik Peluasan Ayat 5W1H ialah satu teknik yang menggunakan maklumat tentang apa, siapa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana untuk mengembangkan ayat. Teknik ini amat bersesuaian digunakan oleh calon SPM untuk menjawab soalan 3(a) dalam Kertas 2 Bahasa Melayu.


Soalan contoh:
Bina ayat dengan menggunakan perkataan `gerakan’.
Untuk membina ayat dengan menggunakan perkatan `gerakan’, murid hendaklah melakukan langkah-langkah yang berikut:

Langkah1: Bina frasa `’melancarkan gerakan” (apa)

Langkah 2: Masukkan subjek ayat (siapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan”

Langkah 3: Masukkan keterangan (Mengapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu ”

Langkah 4- Masukkan keterangan masa (Bila)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam.”

Langkah 5- Masukan keterangan tempat (Di mana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal itu.”

Langkah 6- Masukkan keterangan cara (Bagaimana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal itu dengan menggunakan seekor anjing.”


Soalan Kuiz:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah dengan menggunakan Teknik Peluasan 5W1H supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) gerangan
(ii) berangan
(iii) barangan
(iv) larangan
(v) bayangan
(vi) kayangan



Pemenang Kuiz Bersempena dengan Kem Akademik 2011


Nama: Norizzati Tukijo Kelas: 5 Setia

Jawapan yang dikemukakan:

(i) GERANGAN
Siapakah gerangan tuan hamba (3) yang begitu berani (5) menyelamatkan beta (1) daripada ancaman lanun dengan menggunakan sebilah pedang panjang (6) di tengah-tengah lautan (4) yang sedang bergelora sebentar tadi (2)?



(ii) BERANGAN
Pagi tadi (2), sambil menopang dagunya dengan tangan kirinya(6), Amir (3) berangan (1) ketika gurunya sedang mengajar (2) di dalam kelas (4) kerana dia rindu akan buah hatinya, Siti (6).

(iii) BARANGAN
Semalam (2), kerajaan (3) telah mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia (1) di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara (4) yang bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia (5) dengan harga yang berpatutan dan membantu pengusaha tempatan (6) untuk menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan (5).

(iv) LARANGAN
Mulai April 2011 (2), kerajaan (3)akan menambah zon larangan merokok (1)di semua tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa dan lobi-lobi hotel (4) serta mengenakan hukuman yang tinggi kepada prokok (6) bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok akibat terhidu asap rokok (5) .

(v) BAYANGAN
Pada setiap malam (2), ketika di kamar (4), iaitu sebelum tidur, bayangan wajah nenek (3)yang telah meninggal dunia lima tahun lalu masih jelas di dalam mindaku (1) kerana nenek merupakan insan yang selalu memberikan perangsang dan dorongan (5) atas kejayaanku pada hari ini dengan sentiasa menggalakkanku mengerjakan solat dan belajar dengan bersungguh-sungguh (6).

(vi) KAYANGAN
Seri Dewi Maya(3) yang tinggal di alam kayangan telah turun ke dunia (1) pada malam itu(2) dengan menaiki kuda terbangnya (6) bagi menjalani kehidupan sebagai seorang manusia biasa (5) di sebuah hutan belantara (4).

Catatan:
Nombor (1) hingga (5) yang terdapat dalam ayat (i) hingga (vi) di atas mewakili:
1-apa, 2-bila, 3-siapa, 4-di mana 5-mengapa, 6. bagaimana


Latihan:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah dengan menggunakan Teknik Peluasan dan Teknik Acuan Ayat supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
i. Menghadiahkan – menghadiahi
ii. Menganugerahkan – menganugerahi
iii. Menghutangkan – menghutangi


Sumber : http://panitiabmsmkss.blogspot.com/2011/03/1teknik-peluasan-ayat-5w1h.html

1 comment: