Saturday, October 24, 2009

Selamat Datang Ke Pusat Tuisyen Desa Gemilang

Salam Ukhwah buat seluruh warga pencinta ilmu. Kesudian menjengah halaman ini didahului dengan kalimah penghargaan dan semoga barakah Allah sentiasa mendampingi setiap masa.

Sekadar menyelak kembali sejarah penubuhan pusat tuisyen ini sebagai ingatan kepada putera dan puteri peripentingnya pencarian ilmu dalam kehidupan.

Ilham untuk menzahirkan sebuah institusi pendidikan untuk anak-anak desa ini telah bermula sejak tahun 2003. Setelah melihat ada kelompangan di kalangan anak-anak desa yang gagal menjiwai kepentingan ilmu maka adalah terasa menjadi tanggunjawab kepada Andak untuk berdayung bersama-sama mereka menanam akal ke dalam kepala. Kegagalan anak-anak desa menguasai asas 3M (Membaca, Menulis & Mengira) dengan baik merupakan satu kerugian kepada desa dan negara kerana mereka adalah pelapis untuk menggerakkan kemajuan agama, bangsa dan negara. Masyarakat setempat yang naif akan kepentingan ilmu perlu segera dikejut dan diperbetul ketidaktepatan fakta dan idealogi mereka agar dapat bersama-sama membangunkan generasi muda yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu.

Justeru kerana kelompangan dan kepincangan itulah menjadikan Andak seorang GURU. Guru cacat yang akan membantu semua anak desa ini malahan seluruh warga yang benar-benar cintai ilmu. Dalam kekurangan diri ini Andak akan berdayung bersama kalian membimbing kalian memenuhi impian. Walau cacat di mata, Andak akan tetap bersama kalian dalam apa keadaan sekali pun. Patah sayap, bertongkatkan paruh. Perjuangan ilmu perlu diteruskan.

Jendela Pusat Tuisyen Desa Gemilang telah dibuka untuk santapan semua pihak samada para pelajar dan sesiapa sahaja untuk bersama-sama merasai kerancakan gelombang keilmuan yang telah mula ditiup dalam sanubari anak-anak desa ini.
Pusat tuisyen ini bukan sekadar menumpukan pembelajaran di dalam kelas malahan ia lebih kepada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak & Belia. Pusat tuisyen ini dilihat mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu dalam melahirkan golongan muda yang cinta akan ilmu.

Halaman blog ini bakal memaparkan semua aktiviti yang telah dan akan dirancangkan oleh pusat tuisyen. Semoga para pelajar yang berada di perantauan ilmu dapat mengikuti perkembangan kelas setiap masa. Ingatlah, ikatan yang terjalin antara kita tidak akan terputus walaupun berada beribu batu dari Andak. Manfaatkanlan halaman ini untuk dalam menuju cita-cita. Bersiap siagalah mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang. Tanpa ilmu sudah pasti kalian akan keciciran.

No comments:

Post a Comment