Sunday, November 8, 2009

Kejutan Hari Lahir Bersama KSRK



Tanggal 6 November merupakan hari keramat bagi Andak. Ucapan hari lahir daripada ahli keluarga, para pelajar dan sahabat-handai silih berganti masuk ke kantung mesej telefon Andak menandakan Andak telah menjengah usia ke-31.

Setelah bergelar warga OKU pada tahun 1999, Andak sudah tidak mempedulikan tarikh keramat ini sebaliknya Andak lebih terkesan tarikh 7 Ogos kerana itulah titik tolak perubahan Andak dari kesempurnaan fizikal beralih kepada kekurangan. Sejak tahun pertama insiden tersebut, Andak seolah-olah menanti-nanti tanggal 7 Ogos setiap tahun. Bukan kerana untuk meraikannya sebaliknya rasa trauma yang tetap ada walaupun cuba disembunyikan.

Tetapi sejak bergelar seorang guru dan didampingi ratusan pelajar, belia dan beliawanis desa ini, insiden 7 Ogos semakin terpinggir untuk dikenangi atau dikesali kerana penerimaan para pelajar yang penuh kasih dan sayang.

Sambutan hari lahir pada setiap 6 November sering diadakan secara kejutan oleh para pelajar malahan golongan penjaga juga turut serta meraikan kehadiran 6 November.

Terkini, kejutan daripada ahli Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Kg Sg Ular telah mengambil giliran meraikan sambutan tersebut pada tahun ini. Jika tahun 2008 yang lalu, gabungan pelajar dan ibu bapa telah menghadiahkan satu sambutan hari lahir yang amat meriah. Kini, giliran ahli kelab pula mengambil alih. Tanpa sebarang hebahan dan ura-ura mereka telah mengatur majlis dan ringkas tetapi amat bermakna. Anak-anak dan suami ditinggal seketika semata-mata untuk menzahirkan sambutan yang penuh keikhlasan. Terima kasih tidak terhingga buat En Abdullah, En Hanafi, Kak Yah, Kak Ngah, Kak Ayu, Kak Nor, Kak Zi, Kak Long dan sahabatku Maiyus. Majlis ringkas tetapi amat bermakna.

Terima kasih Ya Allah kerana menghadiahkan mereka untuk Andak.

No comments:

Post a Comment